WASHINGTON – Seorang pesohor media sosial dengan julukan ‘Liver King’ tular apabila berkongsi gaya hidup memakan organ mentah selain menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya pemakanan tersebut, lapor akhbar Daily Star semalam.
Brian Johnson menggelar dirinya ‘CEO gaya hidup zaman nenek moyang’ dan kerap berkongsi diet peliknya di Instagram dan Twitter.
Lelaki itu sekali lagi tular apabila berkongsi video perjalanannya melawati puak Hadza di Tanzania di mana dia memakan jantung haiwan mentah sambil dikelilingi ramai orang.
“Saya mengesahkan suku primitif ini memakan semua bahagian binatang yang baik seperti hati, jantung, pankreas, limpa, buah pinggang, darah, tulang dan banyak lagi.
“Ini adalah antara diet yang paling menggembirakan, menyihatkan dan bertenaga yang pernah saya temui,” katanya.
Pengguna media sosial bagaimanapun tidak yakin dengan diet itu apabila mendapati bentuk badan lelaki itu tidak sepadan dengan puak Hadza.
“Pelik bagaimana mereka amalkan gaya hidup seperti anda tetapi tidak begitu besar. Semuanya semula jadi ya,” tulis seorang netizen. – Agensi