PELUMBA Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamed Harrif Saleh mendapat suntikan semangat menjelang Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas memenangi peringkat terakhir Tour de Taiwan kelmarin.
Pada perlumbaan peringkat kelima yang berlangsung di Dapeng Bay dengan jarak keseluruhan sejauh 149.83 kilometer (km), pelumba berusia 34 tahun itu menamatkan saingan menerusi catatan masa 3 jam 11 minit 24 saat (s).
Justeru, Harrif berharap untuk menjadikan pencapaian di Taiwan sebagai pembakar semangat untuk mengulangi kejayaan itu pada saingan LTdL yang dijadualkan bermula 11 hingga 18 Oktober ini.
“Ini adalah pertama kali saya datang ke Taiwan dan suasananya lebih kurang sama dengan Malaysia. Alhamdulillah rezeki saya dapat menang No. 1 pada perlumbaan terakhir.
“Terima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagai kepada saya. Sudah tentu saya mahu lakukan kayuhan lebih baik pada perlumbaan LTdL nanti,” katanya.
Mengulas mengenai perlumbaan tersebut, pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui, kemenangan yang diraih tidak mungkin berlaku sekiranya tidak ada kerjasama daripada rakan sepasukan TSG.
“Rakan sepasukan memang berikan 100 peratus serta bekerja keras bagi membantu saya untuk bergerak ke hadapan. Ketika 200 meter terakhir, saya fokus untuk memecut dan Alhamdulillah berjaya dapatkan kemenangan,” ujar Harrif.
Sebagai rekod, selain memenangi perlumbaan terakhir, dia juga menamatkan Tour de Taiwan di kedudukan kedua menerusi kategori jersi hijau selepas mengumpul 52 mata, dua mata di belakang pemenang, Luke Lamperti dari Trinity Racing.