MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berharap peminat pasukan itu tidak terlalu risau selepas beliau mengeluarkan penyerang, Erling Haaland di separuh masa pertama dalam aksi Liga Juara-Juara kelmarin.
Pemain antarabangsa Norway itu terus menjadi sandaran skuad The Citizens musim ini apabila sudah meledak 17 gol dalam sembilan perlawanan terakhir termasuk melakukan tiga jaringan hatrik.
Guardiola berkata, keputusan beliau mengeluarkan Haaland ketika bertemu FC Copenhagen sebelum ini hanyalah untuk memberinya peluang berehat menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton di Stadium Etihad malam ini.
“Ya, memang benar keputusan saya mengeluarkan Haaland adalah semata-mata untuk memberikan dia rehat kerana sudah bermain banyak perlawanan musim ini. Dia direhatkan untuk perlawanan seterusnya.
“Ketika saya keluarkan Haaland, kedudukan pada ketika itu sudah 3-0 dan ia peluang terbaik untuk turunkan pemain-pemain lain. Cole Palmer gunakan peluang yang diberikan itu dengan bijak,” katanya.
Sementara itu, beliau juga mendedahkan, bek kanan, Kyle Walker akan direhatkan untuk tempoh yang panjang akibat kecederaan abdomen, sekali gus mungkin terlepas peluang beraksi di Piala Dunia November depan.
“Ia adalah kecederaan abdomen dan dia (Walker) mungkin akan berehat untuk tempoh yang lama. Saya tidak tahu berapa lamakah tempoh sebenar tetapi saya harap dia sempat pulih sebelum Piala Dunia,” ujar Guardiola. – AGENSI