SEBERANG PERAI – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberi bayangan yang beliau masih berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti sekiranya ditawarkan.
Bagaimanapun katanya, sama ada diletakkan untuk bertanding atau tidak untuk mana-mana kerusi pada pilihan raya umum itu, kerja-kerja kebajikan yang dimulakannya terhadap penduduk sekitar Tasek Gelugor khususnya sejak awal tahun ini akan diteruskan seperti biasa.
Ditanya sama ada terdapat mana-mana wakil daripada parti politik yang ‘menghampirinya’ ketika ini pula, Dzulkifli memberitahu, beliau bersedia jika ada pihak yang datang untuk ‘melamarnya’ sebagai calon mereka.
“Saya pun tunggu orang (parti politik) datang ‘meminang’ (jika ada). Apapun, terpulang kepada kehendak rakyat. Kalau ada kemahuan, saya akan wakili mereka dan saya akan pertimbangkanlah (untuk bertanding).
“Nak jawab sekarang pun (sama ada akan bertanding atau tidak), kita tak tahu pilihan raya bila. Ada kata minggu depan. Ada kata tahun depan. Sebab itu saya tak nak hilang fokus dalam program untuk membantu rakyat. Ia perlu berterusan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program pengagihan ayam secara percuma di hadapan pejabatnya di kawasan Pusat Perniagaan Pokok Sena, Tasek Gelugor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, sebanyak 3,500 ekor ayam diagihkan kepada penduduk setempat dengan sebahagian daripada mereka diberikan kupon untuk memudahkan urusan pengambilan ayam berkenaan.
Katanya, kupon itu diagihkan melalui 32 buah masjid di seluruh Tasek Gelugor manakala mereka yang tidak mempunyai kupon pula boleh datang terus ke lokasi untuk tujuan yang sama. – KOSMO! ONLINE