GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mengelak pembaziran menerusi kaedah menukar lebihan makanan kepada hidangan yang baharu.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP meraikan Minggu Tindakan Hijau (Green Action Week) tahun ini bertemakan “Komuniti Berkongsi” dengan berkongsi beberapa petua penyediaan makanan baharu.
”Perkongsian ini adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengubah tabiat membuang sisa makanan yang masih boleh dimakan.
”Dengan membuat makanan baharu daripada lebihan makanan ini, kita boleh membantu mengurangkan sisa dan pembaziran makanan di Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohideen, usaha tersebut adalah satu tindakan paling mudah untuk menjimatkan wang, mengurangkan karbon dan memulihara sumber.
”Pada 2021, rakyat Malaysia telah membuang 4,081 tan makanan yang masih boleh dimakan seperti yang didakwa oleh SWCorp.
“Lebihan makanan seperti nasi, roti dan mee boleh ditukar menjadi makanan yang ringkas tetapi masih sesuai untuk dimakan.
”Menurut SWCorp Malaysia, 24 peratus sisa makanan seperti lebihan sayur-sayuran dan daging yang dikumpul pada 2021 masih boleh dimakan,” katanya.