fbpx

Artis tempatan tak kisah konsert luar makin galak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

KALAU dihitung, sejak awal bulan lalu sampailah ke detik anda membaca nukilan ini, ada sahaja konsert besar yang berlangsung di negara ini.

Bermula dengan konsert artis Indonesia sampailah ke Korea Selatan dan Hollywood, boleh dikatakan setiap minggu penuh sahaja premis atau ruang acara hiburan tempat peminat berkumpul bertemu idola mereka.

Tidak keterlaluan andai dikatakan seolah-olah negara ini bagaikan ‘lubuk’ untuk mereka mencari rezeki selepas dua tahun ‘dipenjara’ lamanya.

Bermula dengan sekecil-kecil konsert bertaraf mini showcase sampailah berskala mega seperti Konsert Dewa 90 dan Billie Eilish, hari demi hari semakin banyak senarai konsert-konsert baharu diterima.

Sebagai salah seorang wartawan hiburan, jemputan demi jemputan untuk menghadiri sidang media konsert artis luar boleh dikatakan sampai tidak terkira.

Hari demi hari, ada sahaja jemputan yang diterima dan dimasukkan satu persatu dalam ‘waiting list’ untuk dihadiri sekali gus diberi liputan.

Kira punya kira, boleh dikatakan lebih daripada 20 konsert yang seolah-olah diadakan se­rentak. Dalam kata lain, penganjur seakan-akan mengejar untuk mengadakan konsert sebelum berakhirnya tahun ini.

Cuma kadangkala terfikir sejenak, bagaimana dari segi pendapatan artis tempatan kita. Ja­ngan dikatakan konsert atau mini showcase, persembahan pentas dan jemputan biasa pun susah nak dapat.

Memang benar orang kata rezeki itu Allah yang beri, tetapi kalau sudah ‘mereka’ sahaja yang diberikan peluang beraksi, bagaimana pula dengan nasib artis kita?

Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah berpendapat, lambakan konsert dari artis negara luar secara tidak langsung membawa kemeriahan kepada industri hiburan tanah air.

“Kalau kita tengok, tak salah pun pada saya untuk mereka (artis luar) datang ke tanah air dan buat konsert.

“Sebab kena tahu satu perkara, mereka juga mencari rezeki, sama macam kita. Pada masa sama, kalau mereka datang ke sini, itu bermaksud ada permintaan daripada peminat mereka di sini.

“Jadi kalau ditanya secara peribadi, itu tidak menjadi satu masalah atau isu yang perlu dibangkitkan. Apapun percaya pada ketentuan rezeki,” katanya.

Tambah Jamal yang popular menerusi lagu Penghujung Rindu itu, satu perkara yang perlu di­ingat, mereka untuk datang ke sini juga menelan perbelanjaan yang bukan sedikit.

Justeru kata Jamal, selagi diberikan peluang dan ruang untuk mana-mana artis membuat konsert atau ‘comeback’ mereka di negara bertuah ini, ambillah peluang sebaiknya.

Senada dengan penyanyi yang bakal bertemu dengan peminat dalam Konsert Canggung di Ka­ngar Perlis 29 Oktober ini nanti ialah penyanyi dangdut kontroversi yang popular di Indonesia, Baby Shima.

Baby Shima berkata, tiada istilah atau untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana lambakan konsert yang berlaku di negara ini berlaku disebabkan keghairahan penganjur yang juga mahu cari makan.

“Pada saya, tidak perlu wujud soal siapa salah dalam hal ini. Apapun bergantung kepada pihak penganjur, kalau mereka ada bajet dan memang sasarkan Malaysia sebagai lokasi, mereka boleh teruskan.

“Seperti yang kita faham, memang bukan senang nak dapatkan permit dan lesen bagi menganjurkan sesebuah konsert luar di negara ini, tetapi mereka (pihak berwajib) juga cari makan.

Tambah Baby Shima yang terkenal dengan figura dan kisah seksinya itu, kemeriahan pe­nganjuran konsert sehingga ­penghujung tahun ini menandakan industri muzik tanah air semakin kembali aktif selepas hampir tiga tahun sepi akibat pandemik Covid-19.

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI