fbpx

Ancaman senjata nuklear Vladimir Putin bukan gurauan – Presiden Joe Biden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIDEN melawat fasiliti IBM di Poughkeepsie, New York pada kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran bahawa dunia berdepan ancaman ‘kiamat’ untuk kali pertama selepas Perang Dingin dan beliau berusaha mencari ‘jalan keluar’ buat Presiden Russia, Vladimir Putin dalam konflik Ukraine.

“Kita tidak berdepan ancaman ‘kiamat’ sejak Kennedy dan krisis peluru berpandu Cuba pada 1962,” kata Biden, merujuk kepada bekas Presiden AS, John F Kennedy, ketika berucap dalam majlis mengumpul dana Parti Demokrat di New York kelmarin.

Katanya, Putin tidak bergurau apabila mengugut mahu menggunakan senjata nuklear untuk meneruskan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Merujuk kepada konfrontasi nuklear 60 tahun lalu yang tercetus berikutan tindakan negara Kesatuan Soviet cuba menempatkan peluru berpandu di Cuba, Biden berkata, buat kali pertama sejak krisis misil Cuba, Barat berdepan ancaman langsung penggunaan senjata nuklear. 

Malah, risiko ke arah penggunaan senjata pemusnah tersebut belum dapat dicegah.

“Kita cuba mencari jalan keluar untuk Putin,” kata Biden.

Putin membuat ugutan untuk menggunakan senjata nuklear apabila didakwa kehabisan pilihan dalam usaha merampas sebahagian besar wilayah Ukraine selepas berdepan tentangan sengit Kiev yang disokong Barat.

Pakar-pakar ketenteraan berkata, kemungkinan besar serangan nuklear itu berbentuk taktikal pada skala kecil. Namun, Biden memberi amaran bahawa serangan sedemikian sekali pun di kawasan terhad, masih mencetuskan kemusnahan yang besar.

“Kita bercakap tentang seorang lelaki yang saya begitu kenali. Putin tidak bergurau apabila bercakap tentang penggunaan senjata nuklear kerana prestasi tenteranya tidak menggalakkan.

“Namun, saya tidak fikir terdapat perkara seperti (menggunakan) senjata nuklear yang  tidak berakhir dengan kiamat,” kata Biden.

Komen Biden itu dibuat ketika Ukraine menawan semula wilayah baharu daripada tentera Russia dalam siri kekalahan Moscow yang menjejaskan dakwaan Kremlin bahawa pihaknya telah merampas sekitar 20 peratus negara Ukraine. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI