PUTRAJAYA- Kementerian Luar dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menyelaraskan usaha penghantaran balik jemaah umrah terkandas di Madinah.
Menurut kenyataan bersama diterbitkan oleh Wisma Putra di sini, kumpulan seramai 63 orang warga Malaysia itu terdiri masing-masing daripada 28 dewasa dan 35 orang kanak-kanak.
“Mereka dibawa oleh gerakan tarekat Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah ke Arab Saudi kononnya untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu, namun terkandas sejak Jun lepas,” katanya.
Katanya, kumpulan berkenaan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah tersebut dan kemudian terperangkap di Madinah sehingga ke hari ini.
Pada 8 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mendedahkan mengenai amalan pelik gerakan dipimpin oleh Habib Shah Firdaus Ahmad itu.
Pengikut kumpulan ini yang berpusat di Negeri Sembilan dipercayai konon merancang untuk menunggu kemunculan Imam Mahdi di Arafah pada hari wukuf lalu tetapi kemudiannya hampa.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, ketua tarekat tersebut telah pun diusir keluar oleh kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan.
“Jadi, kerajaan Malaysia bersetuju untuk membantu urusan penghantaran balik jemaah yang terkandas itu dengan melibatkan kerjasama antara pelbagai agensi berkaitan.
“Usaha ini akan melibatkan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah yang bertindak menyelaras mereka agar dapat pulang dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE