fbpx

104 rumah di Felda Chiku terjejas banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Rohani mengemas barangan di rumahnya di Tanah Rancangan Felda Chiku 2, Gua Musang akibat terjejas banjir kilat semalam. -Foto AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Sebanyak 104 buah rumah di Tanah Rancangan Felda Chiku 2 di sini terjejas dalam kejadian banjir kilat susulan hujan lebat yang berlaku dalam tempoh setengah jam semalam.

Hujan turun bermula kira-kira pukul 4.30 petang sebelum air banjir meningkat memasuki rumah 30 minit kemudian.

Seorang suri rumah, Siti Rohani Abd. Rahman, 33, berkata, banjir itu merupakan kejadian yang terburuk berlaku sejak hampir 40 tahun tanah rancangan itu dibuka.

Katanya, dia menyedari kejadian terbabit apabila air masuk ke dalam kawasan rumahnya dengan cepat.

“Saya bertindak pantas menyelamatkan tiga anak yang berusia antara setahun hingga sembilan tahun dan ibu ke rumah jiran yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Kami tidak sempat menyelamatkan harta benda dan hanya memikirkan nyawa kerana bimbang terperangkap dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Abd. Manaf Mamat, 68, berkata, dia kerugian kira-kira RM15,000 apabila dua buah motosikal dan peralatan rumahnya rosak.

Katanya, mereka sekeluarga tiada di rumah semasa kejadian kerana ada urusan di Kuala Krai dan terkejut apabila jirannya memaklumkan rumahnya dinaiki air.

“Sebelum ini kejadian banjir kilat kerap berlaku akibat masalah sistem perparitan di kawasan rumah kami.

“Sebelum ini, kami telah membuat aduan kepada pihak berwajib termasuklah Pejabat Felda di sini, namun tiada tindakan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana Gua Musang mengambil tindakan pantas dengan membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Chiku 2 bagi menempatkan mangsa banjir terjejas.

Katanya, bagaimanapun, air surut dua jam kemudian dan semua mangsa pulang semula ke rumah.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI