MELAKA – Seorang wanita ditemui dalam keadaan lesu oleh pasukan bomba selepas dilaporkan sesat hampir dua jam ketika ingin melakukan rawatan secara batin di Pulau Besar, di sini malam tadi.
Mangsa yang berusia 37 tahun itu ditemui pasukan bomba kira-kira pukul 10.45 malam di kawasan berbatu di penjuru pulau yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari jeti utama Pulau Besar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.57 malam.
Katanya, sepasukan 10 pegawai dan anggota dari BBP Merlimau serta BBP Jasin telah dikejarkan ke lokasi bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.
“Berdasarkan maklumat daripada mangsa, kita berjaya mengesan kedudukannya dan menjumpai wanita terbabit di kawasan berbatu di penjuru sisi kiri pulau.
“Pihak bomba dimaklumkan mangsa telah ke pulau itu seorang diri sejak pagi tadi (semalam) untuk bersiar-siar. Maklumat sebenar yang lebih terperinci masih belum diperolehi,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, malam tadi.
Katanya, mangsa yang masih bujang berjaya dibawa naik ke Jeti Anjung Batu pada pukul 12.36 tengah malam dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan nelayan setempat.
Pemberita bagaimanapun difahamkan oleh sumber bahawa wanita berkenaan yang bekerja sebagai penjual sayur di pasar malam telah tiba di Pulau Besar pada pukul 8 pagi dengan menaiki feri pelancong dari Jeti Anjung Batu.
Mangsa dikatakan datang ke pulau itu seorang diri untuk melakukan perubatan secara batin termasuk mengelilingi Pulau Besar dan bertapa di sebuah gua digelar Gua Yunus.
Wanita itu turut merancang untuk bermalam di surau di pulau berkenaan bagi melakukan perubatan, malah didakwa telah melakukannya sebanyak empat kali sepanjang bulan lalu. – KOSMO! ONLINE