LONDON – Pengendali Chelsea, Graham Potter berpendapat pemain pertahanannya, Reece James mampu untuk menjadi legenda The Blues ketika tampil cemerlang untuk bantu pasukan raih kemenangan 3-0 ke atas AC Milan pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Pemain pertahanan itu mempamerkan reaksi cukup luar biasa ketika melakukan tugasan bertahan selain bintang antarabangsa England ini juga turut menyumbangkan gol ketiga The Blues.
“Dia seorang pemain hebat dan bintang muda yang sedang berkembang untuk menjadi lebih baik. Saya begitu teruja dan gembira untuk bekerja bersama-sama dengannya.
“Jadi, saya akan cuba membantu dia mencapai potensi kerana seluruh pasukan begitu menyenanginya. Dia mampu menjadi legenda Chelsea, tetapi untuk memastikan semua itu jadi realiti, dia perlu menjadi sebahagian daripada kejayaan pasukan,” katanya.
Pierre-Emerick Aubameyang dan Wesley Fofana turut mencipta nama selaku penjaring buat Chelsea, namun kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal selepas mereka dipalit isu kecederaan.
Fofana yang meledak gol pembukaan Chelsea mengalami kecederaan sekaligus ia menjadi berita kurang baik buat Potter yang turut mengesahkan bekas bintang Leicester City bakal menjalani ujian imbasan.
“Kami sedar mengenai situasi ini dan berharap yang terbaik buat Fofana. Selain itu, saya gembira dengan sikap pemain terbuka, bertanggungjawab dan melakukan tugas dengan baik
“Ini adalah kemenangan penting, namun perjalanan kami dalam pertandingan ini masih lagi jauh. Kini kami tidak sabar untuk berkunjung ke San Siro dan sudah pasti ia bakal beri cabaran hebat buat kami,” jelasnya. – AGENSI