fbpx

Terperdaya pakej umrah murah ejen palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Halim (tiga kiri) dan Mohd. Hafizi (tiga kanan) selepas memeterai MoU di Shah Alam.

SHAH ALAM – Tawaran pakej umrah yang murah oleh ejen palsu menjadi faktor utama bakal jemaah terutama warga emas terperdaya sehingga kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Selain itu, mangsa rata-ratanya enggan tampil membuat laporan polis sekali gus menyebabkan aktiviti haram berkenaan masih berleluasa.

Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, kebanyakan bakal jemaah itu melibatkan warga emas yang terlalu mempercayai tawaran daripada ejen tidak berlesen atau berdaftar.

Kata beliau, mangsa tertarik dengan pakej umrah yang murah tanpa memeriksa terlebih dulu latar belakang syarikat atau agensi pelancongan berkenaan.

“Mereka kemudian berurusan terus dengan ejen palsu itu dan turut membayar wang antara RM7,000 hingga lebih RM10,000.

“Mangsa hanya menyedari tertipu selepas penerbangan kononnya ditangguh terlalu lama dan enggan membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Persada Global Holidays (PGF) di Setia Alam di sini, hari ini.

Kerjasama strategik itu bertujuan membantu jemaah umrah daripada diperdaya ejen atau wakil tidak berlesen di seluruh negara.

Tambah Halim, semua bakal jemaah dinasihatkan berwaspada dan tidak berurusan dengan individu mencurigakan yang menggunakan pelbagai helah.

“Jika ejen itu menggunakan nama syarikat, kita wajib mengenal pasti kesahihannya dengan menghubungi atau pergi terus ke pejabat berkenaan.

“Jangan hanya terus berurusan dan segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PGF, Mohd. Hafizi Abdul Fatah berkata, pihaknya yang menguruskan jemaah umrah hampir 10 tahun turut mengakui kegiatan tersebut.

“Ejen palsu kini sanggup melakukan pelbagai taktik ditambah dengan keadaan pandemik Covid-19 dan ekonomi ketika ini.

“Justeru, bakal jemaah kini perlu lebih bijak menentukan mana yang sah atau sebaliknya,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI