SERDANG – Pencuri warga emas yang berselindung sebagai juruteknik pendawaian televisyen litar tertutup (CCTV) akhirnya tumpas selepas ditahan di sekitar Ampang, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, pehanan individu itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pecah pejabat 16 September lalu.
“Hasil maklumat risikan, kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 61 tahun digelar sebagai ‘Robert Solo’ kerana melakukan kegiatan secara berseorangan.
“Dia dipercayai pernah ditugaskan memasang CCTV dan sudah 10 tahun aktif dalam kegiatan tersebut.
“Kita dapati suspek tinggal di Ampang dan mempunyai lapan rekod jenayah pecah rumah, harta curi serta pernah menjalani hukuman penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kes pecah pejabat bersiri sekitar Lembah Klang di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Serdang, di sini hari ini.
Menurut A Anbalagan, barangan rampasan disyaki hasil daripada kegiatan jenayah pecah rumah di kawasan Lembah Klang.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM180,000 melibatkan pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba, kamera digital dan peralatan komputer.
“Modus operandi suspek adalah mengenal pasti selok belok pejabat sebelum mengambil masa satu atau dua bulan untuk datang semula.
”Kegiatan dilakukan pada waktu siang ketika cuti umum atau hujung minggu ketika pejabat tidak beroperasi,” jelasnya.
Susulan itu, daerah Serdang, Petaling Jaya, Brickfield, Sentul dan Shah Alam adalah lokasi utama suspek bergiat aktif dalam kegiatan pecah pejabat sejak awal tahun ini.
“Lapan kes pecah rumah berjaya diselesaikan di kawasan Lembah Klang hasil tangkapan suspek.
“Majikan suspek juga tidak mengetahui latar belakangnya mempunyai rekod jenayah dan tidak menyangka dia mampu bertindak sedemikian,” katanya.
Tambahnya, suspek ditahan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan direman tujuh hari sehingga Selasa hadapan. – KOSMO! ONLINE.