PONTIAN – UMNO menyifatkan tindakan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan pendirian untuk tidak diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun ini disifatkan sebagai tidak wajar.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kesemua anggota kabinet PN sepatutnya menyuarakan apa juga pandangan mereka termasuk berhubung pendirian bagi mengadakan PRU-15 ketika mesyuarat Kabinet.
Katanya, tindakan anggota Kabinet PN itu merupakan sesuatu yang tidak manis dalam pentadbiran kerajaan sekarang di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Perkara berkaitan tidak bersetuju di dalam Kabinet sepatutnya tidak dbincangkan di luar kerana ia melambangkan rasa tidak percaya kepada Perdana Menteri, ” katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO di sini hari ini.
Kelmarin, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan 12 Menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Shah bagi menyatakan pendirian untuk tidak diadakan PRU-15 pada tahun ini.
Mohd. Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan dilaporkan berkata, gabungan Menteri PN berpendapat kebajikan rakyat adalah tumpuan utama yang perlu diberi perhatian pada masa ini. – KOSMO! ONOINE