PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini sebentar tadi bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih yang membawa beliau dilihat masuk ke bangunan berkenaan pada pukul 9.33 pagi.
Ismail Sabri sempat membuka tingkap kenderaannya dan melambai ke arah sekumpulan pemberita dan jurugambar yang menunggu di luar pintu masuk utama sejak awal pagi tadi.
Sementara itu, barisan menteri Kabinet turut dilihat memasuki bangunan berkenaan seawal pukul 8.40 pagi antaranya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ia kemudiannya disusuli dengan ketibaan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sekitar pukul 9.30 pagi, kenderaan yang membawa Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa turut dilihat masuk untuk menghadiri mesyuarat Kabinet.
Difahamkan, Ismail Sabri akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet kira-kira pukul 10 pagi ini.
Semalam, Annuar mengesahkan mesyuarat Kabinet akan berjalan seperti biasa sebagaimana yang dijadualkan hari ini.
Ia sekali gus menjawab persoalan sama ada Parlimen dibubarkan hari ini atau sebaliknya, namun menjelaskan perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet nanti. – KOSMO! ONLINE