KETUA jurulatih skuad Selangor FC, Tan Cheng Hoe bertekad untuk meneruskan momentum dengan melakar keputusan positif pada aksi Liga Super bertemu seteru setempat, Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium MBPJ malam ini.
Sebagai rekod, Cheng Hoe yang telah dilantik pada bulan lalu berjaya mempamerkan kelas tersendiri dengan membantu Gergasi Merah menewaskan Melaka United 5-0 pada aksi ‘debut’ minggu lepas.
Namun, Cheng Hoe tidak mahu mendabik dada sebaliknya meminta semua pemain bekerja keras dan waspada dengan ancaman yang boleh dilakukan pasukan The Phoenix meskipun skuad lawan tidak dibarisi pemain import.
“Sudah tentu sasaran pasukan adalah untuk melakar keputusan positif dan inilah yang kita mahukan apabila bertemu PJ City nanti. Di atas kertas, mereka memiliki ramai pemain berkualiti.
“Justeru, bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pada tiga aksi liga terakhir mereka berjaya menewaskan Kedah (Darul Aman) selain seri bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menang ke atas kami pada pusingan pertama.
“Namun, saya percaya dengan kualiti yang pasukan miliki dengan kombinasi pemain muda dan senior, kita boleh mencapai keputusan yang diharapkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan FAS, Shah Alam.
Sementara itu, penyerang import Gergasi Merah, Herlison Caion mengakui masih belum puas dengan prestasi peribadi meskipun berjaya menjaringkan 14 gol pada kempen Liga Super musim ini.
“Secara jujur, saya akui ramai yang mahukan saya meraih kasut emas musim ini, namun tanggungjawab menjaringkan gol dikongsi bersama kerana saya tidak berseorangan di atas padang,” katanya.