fbpx

PBB bimbang ekonomi Afghanistan runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI-PEGAWAI Kementerian Rehabilitasi Pedalaman tiba untuk merasmikan sebuah empangan di Kampung Miankoh, Kandahar pada 1 September lalu. - AFP

KABUL  – Ekonomi Afghanistan mengalami ‘bencana keruntuhan’ sejak kumpulan Taliban berkuasa, dengan usaha selama 10 tahun untuk membina negara Asia Selatan itu musnah dalam masa kurang setahun, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam laporannya kelmarin.

Sebelum Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, ekonomi Afghanistan sudah sangat kecil, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) cuma  sekitar AS$20 bilion (RM92.6 bilion).

Namun, hanya dalam masa satu tahun, Afghanistan hilang kira-kira AS$5 bilion (RM23.1 bilion) kata Pengarah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) untuk Asia dan Pasifik, Kanni Wignaraja dalam satu  sidang akhbar.

“Ia adalah aset terkumpul selama 10 tahun dan hilang dalam masa 10 bulan. Kerugian dramatik seperti ini tidak pernah dilihat di mana-mana negara di dunia,” tambahnya.

Menurutnya, antara 95 hingga 97 peratus penduduk Afghanistan kini hidup di bawah paras kemiskinan.

Laporan itu memberi gambaran suram tentang ekonomi Afghanistan dan membayangkan keruntuhan sistem perbankan serta  kewangan, dengan 700,000 penduduk hilang pekerjaan  menjelang pertengahan 2022. Kebanyakan mereka adalah wanita, manakala, satu daripada lima kanak-kanak berisiko mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, terutama di selatan Afghanistan.

Keruntuhan ekonomi formal itu juga menyebabkan peningkatan kepentingan ekonomi tidak formal, yang mewakili 12 hingga 18 peratus KDNK Afghanistan pada tahun ini, berbanding sembilan hingga 14 peratus setahun lalu, kata laporan  sama.

Wakil UNDP di Afghanistan, Abdallah Al Dardari berkata,  bantuan kemanusiaan sahaja tidak boleh mengimbangi kejatuhan ekonomi, sambil menambah, jumlah rakyat Afghanistan yang memerlukan bantuan telah meningkat daripada 19 juta orang kepada 22 juta orang dalam masa 14 bulan sahaja.

“Justeru, dalam tempoh tiga tahun akan datang, kami mahu mewujudkan dua juta pekerjaan melalui kebangkitan semula sektor swasta, melalui kerjasama dengan masyarakat tempatan dan juga melalui tumpuan kepada usahawan wanita di samping  memulihkan semula produktiviti pertanian, kewangan mikro serta  perbankan,” katanya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI