KUALA LUMPUR – Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan memohon di Mahkamah Tinggi supaya semakan berkaitan kes rasuahnya didengar bersama permohonan sama yang dikemukakan suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Sebelum ini, Bung Moktar dan Zizie Izette memfailkan notis usul untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September lalu yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah berkaitan pelaburan dalam unit amanah.
Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam M .Athimulan yang mewakili Zizie Izette supaya notis usul terbabit dipindahkan ke hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.
Mengikut permohonan asal, notis usul semakan Bung Moktar didaftarkan di hadapan Azhar dan akan didengar pada 17 Oktober ini manakala kes Zizie Izette pula sepatutnya didengar di hadapan Collin.
Sementara itu Athimulan ketika ditemui selepas prosiding, berkata pihaknya akan memfailkan permohonan pada Selasa ini supaya kedua-dua notis usul itu didengar bersama.
“Kami harap permohonan akan didengar bersama pada tarikh itu (17 Oktober),” katanya.
Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria.
Pada 23 September lalu, Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, untuk menangguhkan prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen, selepas mereka memfailkan notis usul untuk menyemak dan mengetepikan keputusan (Mahkamah Sesyen) berkenaan.
Permohonan untuk semakan itu dibuat dengan alasan hakim perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta, apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan
kes prima facie.
Pada 2 September lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka. – KOSMO! ONLINE