PETALING JAYA – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan sebarang kerjasama dengan sebuah syarikat milik seorang wanita dikenali Siti Nur Atiqah yang mendakwa dirinya sebagai Datuk Seri dalam pembinaan rumah asnaf di Selangor.
LZS dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah melantik syarikat tersebut sebagai panel kontraktor bagi projek tersebut.
“Pelantikan kontraktor perlu melalui proses pemilihan yang ketat serta mendapat kelulusan jawatankuasa khas.
“LZS amat kesal dengan tindakan wanita itu yang menyebarkan maklumat tidak benar hingga menimbulkan kekeliruan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk LZS bagi mendapatkan maklumat tepat.
Terdahulu, tular klip video dimuat naik wanita terbabit mendakwa bahawa syarikat miliknya menjalankan kerjasama dengan LZS bagi tujuan pembinaan rumah asnaf. – KOSMO! ONLINE.