fbpx

Lelaki diculik, dibunuh rakan selepas terima wang tebusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa yang separuh reput, tangan diikat pota pelekat serta kain sarung ditemui pihak polis.

KAJANG – Seorang lelaki warga asing ditemui mati dalam keadaan mayat separuh reput dengan tangan dan muka diikat pita pelekat serta kain sarung selepas dibunuh rakan senegara yang memeras ugut keluarganya membayar 500,000 taka Bangladesh bersamaan RM22,000.

Pembunuhan mangsa warga Bangladesh berusia 39 tahun itu terbongkar selepas polis menahan empat lagi lelaki Bangladesh di kawasan Beranang dan Semenyih kelmarin hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan daripada lelaki Bangladesh menyatakan bahawa anak saudaranya keluar rumah dan tidak dapat dihubungi pada 25 September lalu.

Menurutnya, ibu kepada mangsa yang berada di Bangladesh menerima panggilan daripada suspek bahawa mangsa ditahan dan dia dikehendaki membayar 500,000 taka Bangladesh untuk melepaskan mangsa.

“Ibu mangsa kemudian membayar sejumlah wang kepada suspek melalui akaun bank di Bangladesh keesokannya dan suspek berjanji akan melepaskan mangsa dalam masa dua hari.

“Oleh kerana ibu mangsa tidak menerima sebarang berita mengenai anaknya, dia kemudian meminta abang kandungnya untuk membuat laporan polis pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Zaid, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menahan dua lelaki Bangladesh di Beranang pada pukul 4 petang hingga 4.10 petang kelmarin.

“Susulan tangkapan kedua-dua suspek, polis menahan dua lagi lelaki Bangladesh di Semenyih yang membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak di Jalan Taming Jaya 10, Kawasan Industrial Park, Seri Kembangan,” jelasnya.

Susulan itu, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. Punca kejadian dipercayai, mangsa dibunuh kerana mengenali suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI