SKUAD Kuala Lumpur City FC (KL City) hanya selangkah untuk melengkapkan ‘kisah dongeng’ selepas mara ke pentas akhir Piala AFC musim ini dengan menewaskan wakil Uzbekistan, PFC Sogdiana Jizzakh pada aksi final antara zon kelmarin.
Pada perlawanan di Stadium Sogdiana itu, skuad Warga Kota mempamerkan semangat juang tinggi dengan mengekang asakan lawan sebelum menang perlawanan dengan penentuan penalti 5-3 selepas aksi berkesudahan seri tanpa jaringan.
Pengendali KL City, Bojan Hodak mengakui status bukan pilihan banyak membantu pasukan untuk terus mencipta kejutan meskipun tidak beri harapan langsung pada kejohanan divisyen kedua paling berprestij di Asia itu.
“Seperti yang saya sering katakan sebelum ini, KL City hanya kelab kecil dengan bajet yang sedikit tetapi apa yang telah kami buktikan di atas padang berjaya membuka mata banyak pihak.
“Sudah pasti, saya harap pemain tidak melepaskan peluang ini kerana bukan mudah untuk beraksi di pentas final Piala AFC.
“Berdasarkan apa yang kita telah harungi di sini dan India sebelum ini, saya yakin pasukan boleh melakukannya,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengulas mengenai aksi kelmarin, pengendali import dari Croatia itu memuji apa yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya yang menggagalkan jentera serangan pasukan lawan sepanjang 120 minit perlawanan.
“Sebelum ini, saya sudah katakan pasukan Uzbekistan berada pada tahap lebih tinggi dan jangkakan mereka mendominasi perlawanan adalah tepat.
“Namun, kami berjaya menghentikan gerakan mereka yang hanya memiliki beberapa peluang sebelum aksi terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti,” katanya.