PETALING JAYA – Amaran ribut petir dikeluarkan melibatkan 11 negeri di Semenanjung sehingga pukul 4 petang hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, antara negeri yang terlibat adalah Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Di negeri Kedah ia melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan dan Kuala Muda, manakala di Perak, hanya daerah Muallim.
“Cuaca sama turut melanda Pahang iaitu di Bentong, manakala Terengganu pula melibatkan Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Untuk Selangor pula amaran dikeluarkan di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
“Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula melibatkan seluruh kawasan manakala di Negeri Sembilan ribut petir dijangka melanda Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau.
“Sementara itu di Melaka cuaca sama dijangka melanda Alor Gajah dan Melaka Tengah.
“Untuk negeri Johor pula, ia melibatkan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya. – KOSMO! ONLINE