fbpx

Bantuan terkandas, pikap terbalik tengah hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan peserta yang terkandas di Kampung Kajang, Pos Gob, Gua Musang kelmarin. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seramai 150 peserta melalui detik cemas apabila beberapa pikap yang dinaiki mereka terbalik dan rosak ketika dalam perjalanan menghantar bantuan makanan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Gob di sini kelmarin.

Kejadian itu berlaku akibat jalan rosak, berlumpur dan jambatan runtuh yang menyebabkan peserta Program ‘Bergagoh Ma Senoi Bek’ itu terkandas lebih 24 jam sehingga terpaksa bermalam di tengah hutan.

Peserta terdiri daripada ahli Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Nenggiri, staf Tenaga Nasional Berhad dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, mereka terpaksa membatalkan ekspedisi yang bermula Selasa lalu ekoran masalah itu.

Menurutnya, terdapat juga kawasan yang mengalami tanah runtuh sehingga menyukarkan lagi laluan untuk ke destinasi perkampungan Orang Asli itu.

“Kita bermula di Pusat DUN Nenggiri pada pukul 9 pagi, namun 15 pikap masih terkandas berhampiran Kampung Kajang dan 26 kenderaan terkandas di Kampung Gawin sehingga pukul 10 malam.

“Meskipun ada beberapa pikap yang rosak dan terbalik, namun semua peserta tidak mengalami kecederaan,” katanya di Kampung Kajang di sini semalam.

Ab. Aziz memberitahu, kumpulan itu terpaksa bermalam di lokasi kejadian sementara me­nunggu keesokan harinya iaitu semalam untuk pulang semula ke Gua Musang.

Seorang peserta, Mohd. Zaidatul Azizi Mohd. Zaidatul Azman, 22, berkata, dia bersyukur apabila kesemua peserta terselamat walaupun terpaksa melalui jalan balak yang mencabar.

Katanya, itu merupakan pe­ngalaman pertama dirinya me­nyertai program kembara lasak.

“Kami semua hampir terkandas dan terpaksa bermalam di dalam kenderaan di tengah hutan.

“Meskipun semua peserta keletihan, namun masih bersemangat apabila saling tolong-menolong selepas kenderaan peserta lain yang tersekat dalam lumpur,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI