fbpx

Rambut kesayangan Ramlah Ram dilarikan tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLAH RAM

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular sekitar era 1980-an, Ramlah Ram yang kini anggun dengan gaya berhijab berkongsi kisah di sebalik rambut potongan ‘bob’ yang digayakan pada sampul album Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu).

Ramlah yang cukup terkenal dengan rambut panjang mengurai pada awal kemunculannya menjelaskan, dia terpaksa memotong rambut pendek demi memudahkan kerja menata rias diri sendiri sebelum menjayakan sesebuah persembahan pentas atau acara hiburan.

“Waktu mula-mula bergelar artis, semuanya saya perlu siapkan sendiri. Dari segi rambut dan solekan, semua saya uruskan. Tiada jurusolek dan juru gaya rambut macam sekarang. Disebabkan rambut saya panjang, masa yang diambil untuk bersiap jadi lama.

“Bagi menjimatkan masa, saya memutuskan untuk potong rambut. Mula-mula potong sampai bahu, tapi bila album Kau Kunci Cintaku hendak keluar, saya potong stail bob untuk imej yang lebih segar,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sungguhpun begitu, ada satu hal lucu yang berlaku terhadap sisa rambut yang dipotong itu.

“Disebabkan sayang sangat pada rambut yang sudah dipotong itu dan ingin buat kenangan, saya letak dalam kotak serta bawa balik kampung.

“Ingatkan selamat dalam simpanan, tetapi tidak lama kemudian saya dapat tahu rambut saya hilang kerana dilarikan tikus!,” katanya sambil tertawa mengenangkan kisah lalu.

Ditemui pada majlis penyampaian hadiah kempen Best Products ke-26 di ibu kota baru-baru ini, Ramlah bercerita mengenai penglibatannya dalam kempen Best Products ke-26.

Ramlah menjelaskan kehadirannya bertujuan memberi sokongan sebagai duta jenama berkenaan.

“Saya sudah bergelar duta untuk Best Products sudah lama, sejak 2015.

“Jadi saya hadir hari ini bagi memberi sokongan kepada pemenang, selain menghiburkan tetamu yang datang,” katanya.

Selain Ramlah Ram, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan dan Norman Hakim juga adalah duta kepada Best Product.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI