KUALA LUMPUR – Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang telah diratifikasi Malaysia tidak akan terganggu walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau berkeyakinan seperti itu kerana kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU-15 adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya yakin kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU-15 adalah kerajaan PN jadi kita akan teruskan usaha-usaha ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahu tahu bagaimana dan bila CPTPP boleh dilaksanakan memandangkan ia perlu mendapat mandat serupa daripada kerajaan baharu jika PRU-15 diadakan.
Mohamed Azmin berkata, beliau bagaimanapun turut percaya apa jua kerajaan yang dibentuk selepas PRU-15 akan meneruskan CPTPP kerana ia perjanjian yang memberi manfaat kepada negara dalam menempuhi cabaran ekonomi semasa.
Beliau menjelaskan, segala pindaan terhadap 11 undang-undang berkaitan CPTPP juga telah selesai dilaksanakan untuk memastikan Malaysia memenuhi obligasi dan menguatkuasakan perjanjian itu.
“Sebab itu saya (sebenarnya) minta usaha membubarkan Parlimen tidak dijalankan sekarang kerana kita lihat indikator ekonomi semakin baik, tetapi kita perlu sedikit masa lagi supaya proses pemulihan ekonomi benar-benar dapat beri kesan positif kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE