KANGAR – Polis setakat ini belum mengesan sebarang cubaan penyeludupan produk berasaskan ganja dari Thailand, namun mendedahkan pernah merampas 10 anak pokok ganja di sempadan negara baru-baru ini.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan mengenai terdapatnya produk berasaskan ganja itu dijual dalam pasaran negeri ini.
“Bagaimanapun, kita akan terus memantau perkara ini dan menjalankan pemeriksaan berhubung sebarang cubaan menyeludup ganja mahupun anak pokok atau produk berasaskan bahan itu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kata beliau, sebanyak 10 anak pokok ganja itu ditemui disembunyikan di kawasan belukar ketika melakukan rondaan di sepanjang laluan Malaysia-Thailand, baru-baru ini.
“Anak pokok ganja itu adalah antara barang rampasan dadah jenis ganja, namun ia tidak melibatkan sebarang tangkapan,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya berjaya merampas sebanyak 374.4 kilogram (kg) dadah jenis ganja dengan membabitkan sembilan tangkapan serta melibatkan sindiket pengedaran dadah sepanjang Januari hingga Ogos lalu.
“Selain itu, sebanyak 11 kes dengan 13 tangkapan kerana pemilikan dadah jenis ganja turut berjaya dilakukan dalam tempoh tersebut,” ujarnya.
Walaupun jumlah tangkapan hanya melibatkan 22 orang, namun jumlah rampasan tersebut secara tidak langsung memperlihatkan tindakan proaktif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyekat kemasukan ganja melalui sempadan negeri Perlis.
Dalam pada itu, kata Surina, polis akan terus menjalankan pemeriksaan dan tangkapan sekiranya ada rakyat Malaysia dikesan cuba melakukan penyeludupan ganja mahupun produk berasaskan bahan berkenaan.
“Semua produk berasaskan dadah berbahaya di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 adalah salah di sisi undang-undang, tidak kira berapa jumlah kuantiti daripada segi kuantitatif.
“Jika jumlah tersebut melebihi anggapan di bawah akta yang sama, seseorang itu boleh dianggap sebagai ‘pengedar dadah’,” jelasnya.
Sebagai contoh, katanya, seseorang yang memiliki 200 gram atau lebih berat bersih ganja boleh dihukum di bawah Seksyen 39B ADB dan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
“Bagi mereka yang didapati membawa masuk atau memiliki sebarang produk yang mengandungi ketum pula, mereka akan berdepan tindakan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun,” katanya.
Menurut Surina, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan selain melakukan ujian saringan air kencing secara rambang bagi mengesan penyalahgunaan ganja.
“Operasi Tapis dilakukan bukan hanya di sempadan malah di seluruh negeri Perlis. Untuk makluman juga pada Julai lalu, polis Padang Besar telah menjalankan Op Tapis Sempadan di pos–pos kawalan warta iaitu di Wang Kelian dan Padang Besar.
“Pemeriksan Op Tapis berkala dijalankan selari dengan tindakan Op Tapis Khas yang dijalankan setiap bulan di seluruh Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, Op Tapis Sempadan selama dua hari itu berjaya mengesan enam individu positif dadah, masing-masing lima warga Thailand dan seorang rakyat tempatan selepas saringan dilakukan ke atas 71 orang yang memasuki negara ini.
Selain itu, polis juga turut memeriksa sejumlah 27 kereta dan lapan buah motosikal bagi mengesan sebarang usaha membawa bahan larangan itu secara salah.
Kosmo! pada 19 Julai lalu melaporkan, rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand bimbang jika ada pelancong dari tanah air yang masuk ke negara gajah putih itu semata-mata mahu melancong sambil menghisap ganja dan minum air kanabis yang begitu mudah didapati. -KOSMO! ONLINE