FRANKFURT – Pengendali Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengkritik ketumpulan jentera serangan pasukan selepas gagal menyudahkan peluang terhidang ketika seri tanpa jaringan bertemu Eintracht Frankfurt pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, dua penyerang sensasi Spurs, Harry Kane dan Son Heung-min mensia-siakan banyak peluang keemasan untuk membantu pasukan mengutip tiga mata berharga, tetapi gagal berbuat demikian.
Kata Conte, semua pemain telah memberi yang terbaik selain tidak mempunyai masalah untuk mengikut corak taktikal yang diterapkan, tetapi isu utama ketika ini adalah ketumpulan dari segi penyudah yang sedikit merisaukan.
“Daripada sudut taktikal atau strategi, ia bukan isu utama kerana aksi yang ditampilkan cukup positif dan bertenaga dengan pasukan berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan tanpa membuka ruang buat pasukan lawan.
“Dalam masa yang sama, masih ada ruang yang perlu diperbaiki khususnya dari aspek penyudah kerana kita boleh menang perlawanan ini dengan mudah andai pemain menggunakan peluang yang ada,” katanya.
Pandangan yang sama disuarakan oleh pemain tengah Spurs, Pierre-Emile Hojbjerg yang mahu rakan-rakan sepasukan kembali fokus sekiranya berhasrat untuk mara ke peringkat kalah mati nanti.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam kalangan pemain, tetapi aspek serangan ketika ini perlu diperbaiki kerana kita berjaya mencipta peluang tetapi gagal disudahkan dengan baik dan situasi tersebut sering menghukum pasukan,” katanya. – AGENSI