LONDON – Jentera Ferrari yang dipandu legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher pada saingan musim 2003 akan dilelong dan bakal menjadi rebutan pembeli.
Lelongan terbaharu yang berada di bawah seliaan Sotheby ketika ini masih belum mempunyai tanda harga, tetapi sudah pasti akan menjadi salah satu kereta F1 paling mahal yang akan dijual melalui proses lelongan.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama jentera yang dipacu Schumacher dilelong kerana pada 2017, jentera F2001 dikuasakan enjin 3.0L V10 dengan nombor casis 211 antara jentera termahal pernah dilelong.
Jentera yang dipandu Schumacher ketika itu berjaya membantunya merangkul kejuaraan GP Monaco dan juara keseluruhan F1 pada 2001 berjaya dilelong dengan nilai £7 juta (RM37.1 juta).
Kini, jentera model F2003-GA yang menyaksikan Schumacher merangkul kejuaraan dunia F1 keenamnya akan dilelong di Switzerland dalam tempoh terdekat ini.
Ketika ini, situasi kesihatan Schumacher tidak didedahkan kepada umum sejak dia terbabit dengan insiden kemalangan ski sembilan tahun lalu yang menyebabkannya mengalami koma.
Anak Schumacher, Mick sedang mengikut jejak langkah ayahnya beraksi dalam perlumbaan F1 bersama pasukan Haas, namun nasibnya dalam saingan itu pada musim depan masih menjadi tanya tanya.
Kedudukan Mick bersama pasukan Haas pada musim depan bakal terancam selepas beberapa nama dikaitkan akan menyertai pasukan tersebut.
– AGENSI