fbpx

Bincang bubar Parlimen jika berkesempatan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika bercakap kepada pemberita selepas hadir membuat tinjauan di Kementerian Kewangan berhubung persiapan perbentangan Bajet 2023 di Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perbincangan mengenai pembubaran Parlimen berkemungkinan akan dibincangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang ini.

Perdana Menteri berkata, perkara itu boleh dibincangkan sekiranya perbincangan berkaitan Kabinet dapat diselesaikan lebih awal.

“Tidak pasti lagi nak bawa atau tidak (agenda pembubaran), jika bincang hal Kabinet panjang sangat, maka bincang pasal Kabinet sahaja lah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat tinjauan perkembangan persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, sesi menghadap Yang Dipertuan Agong petang ini merupakan kunjungan mingguan bagi perbincangan pra-Kabinet dan menyampaikan taklimat tentang apa yang hendak dibincangkan di Kabinet.

“Memang saya akan menghadap Yang Dipertuan Agong setiap minggu untuk pra-Kabinet di mana baginda akan beri pesanan kepada Kabinet dan saya memang akan hadir menghadap baginda satu hari sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung.

“Perbincangan dalam sesi menghadap itu lebih kepada mesyuarat Kabinet, kertas Kabinet dan sebagainya, saya beri taklimat secara ringkas dan Yang di-Pertuan Agong akan tanya jika ada perkara yang perlukan penjelasan,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak diadakan pada tahun ini, Ismail Sabri berkata, perkara tersebut terserah pada budi bicara baginda.

“Terserah kepada yang Yang di-Pertuan Agong, kerana pembubaran Parlimen merupakan kuasa baginda dan tidak boleh dicabar malah baginda mempunyai kuasa budi bicara sepenuhnya berdasarkan perkara 40 (2)(b) dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi siapa sahaja berhak beri pandangan termasuk Perdana Menteri berhak beri pandangan namun kuasa pemutus adalah Agong. Kalau mereka nak tulis surat ke, nak buat kenyataan akhbar ke, boleh. Itu bebas tapi akhirnya keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong,” tegas beliau.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI