fbpx

Batal tempahan rumah bot Tasik Kenyir kerana berita palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai membatalkan tempahan rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berikutan terpengaruh dengan berita palsu yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

HULU TERENGGANU – Pemain pelancongan terutama pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, di sini rugi besar akibat tempias penyebaran berita palsu konon­nya Empangan Kenyir bakal pecah yang tular di media sosial pada minggu lalu.

Mereka kerugian lebih puluhan ribu ringgit apabila segelintir pelanggan bertindak memba­talkan tempahan masing-masing akibat panik dan mempercayai berita tidak benar itu.

Seorang pengusaha rumah bot, Zarina Omar berkata, setakat ini, dua tempahan yang diterima pada November ini telah dibatalkan pelanggan.

“Pembatalan tempahan itu melibatkan kumpulan pelancong dari Johor, Singapura dan Kedah antara 11 hingga 26 November depan.

“Walaupun sudah membayar deposit tetap dan saya telah berusaha menjelaskan situasi sebenar, mereka tetap berkeras untuk membatalkan tempahan ke­rana terpengaruh dengan be­rita palsu berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini semalam.

Terdahulu, tersebar berita kononnya Empangan Kenyir dijangka pecah berikutan banjir besar yang diramal melanda Terengganu pada Monsun Timur Laut antara bulan depan hingga Mac tahun depan.

Musibah itu kononnya akan menyebabkan daerah ini, Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Nerus ditenggelamkam air sehingga sedalam 16 meter.

Seorang lagi pengusaha rumah bot, Kamaruddin Razali, 50, juga kehilangan dua trip yang te­lah ditempah sepanjang bulan ini ekoran pelanggan terlalu percaya dengan berita palsu itu.

Beliau yang mengusahakan Persona Houseboat menyifatkan penyebaran berita palsu tentang risiko kemusnahan Empangan Kenyir sangat tidak bertanggungjawab.

“Berita palsu itu bukan sahaja menyebabkan kegemparan awam, malah menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir ini.

“Periuk nasi kami yang baru hendak pulih daripada pandemik Covid-19 juga terganggu,” katanya.

Pengusaha Sri Gagau Kenyir Houseboat, Jali Abdullah, 63, pula bimbang kerisauan tidak berasas itu bakal berterusan sehingga musim tengkujuh jika pihak berkuasa tidak bertegas menanganinya.

“Biasanya kami menerima ramai pelancong dalam kalangan kaki pancing sepanjang musim tengkujuh.

“Sekiranya individu menularkan berita palsu itu terus dibiarkan lepas tanpa tindakan, saya bimbang masyarakat akan mempercayainya pula,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI