PUTRAJAYA – Pengesahan sama ada Bajet 2023 akan dibentangkan seperti yang dijadualkan di Dewan Rakyat hanya akan terjawab esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai spekulasi telah dibangkitkan sama ada bajet berkenaan akan dibentangkan esok atau tidak namun untuk mendapatkan jawapan perlu menunggu sehingga esok.
“Kita tunggu lah esok bentang atau tidak (Bajet 2023).
“Kalau saya sebut bentang, sudah tiadalah debarannya jika saya cakap hari ini. Kita tunggu esok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat tinjauan perkembangan persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.
Terdahulu, jurucakap MOF pada Selasa lalu mengesahkan pembentangan Bajet 2023 diteruskan pada Jumaat ini meskipun terdapat spekulasi bahawa Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen sebelum Jumaat.
Mengulas mengenai kunjungan beliau ke kementerian tersebut, Ismail Sabri berkata ia adalah sebagai tanda penghargaan kepada pegawai-pegawai kementerian berkenaan yang bertungkus lumus menyedia dan menyiapkan kertas pembentangan.
“Kedatangan ke MOF hari ini yang pertama untuk bertemu dengan pegawai-pegawai yang terlibat di dalam menyediakan bajet dan untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka.
“Saya difahamkan kebanyakan mereka dah tiga minggu tidur di kementerian ini kerana menyediakan bajet dan sebagainya jadi saya datang untuk berjumpa mereka sendiri untuk mengucapkan terima kasih di atas usaha mereka dalam menyediakan bajet,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE