PUTRAJAYA – Taman tema berkonsepkan ‘edutainment’, Wetland Studios Putrajaya yang akan dibuka pertengahan tahun hadapan dijangka menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu kepada pengunjung.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, PPj membuat keputusan menambah baik Pusat Penghayatan Alam (NIC) Taman Wetland setelah ia beroperasi selama 10 tahun dengan menjalin kerjasama strategik bersama syarikat media dan hiburan tempatan, KRU Studios Sdn Bhd.
Menurut beliau, kerjasama dengan KRU Studios melibatkan pembangunan bahan pameran menggunakan sistem teknologi terkini yang akan membantu PPj melengkapkan pengisian pameran interaktif.
“PPj juga bersetuju untuk memperluaskan skop kandungan yang disediakan bertemakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan spesies-spesies hidupan dari era pra-sejarah sehingga kini khususnya mempertingkat fungsi dan peranan wetland air tawar sebagai salah satu sumber utama kehidupan.
“Dengan tarikan-tarikan baharu seperti yang terdapat di taman tema serta pameran kandungan kreatif dan interaktif berbentuk digital dan fizikal seperti animatronics, bangunan NIC Taman Wetland Putrajaya kini dijenamakan sebagai Wetland Studios Putrajaya,” katanya selepas menandatangani dokumen perjanjian antara PPj dan KRU Studios di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Wetland Studios Putrajaya kini masih ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian, penyelenggaraan serta naik taraf dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2023.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kru Studios, Datuk Norman Abdul Halim berkata, kos kandungan dan teknologi bagi membangunkan Wetland Studios dianggarkan membabitkan pelaburan RM10 juta dan ia dijangka meningkat berdasarkan peredaran arus masa.
Jelas beliau, Wetland Studios bukan sekadar taman tema untuk bersuka-ria tetapi berkonsepkan “edutainment” yang menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya serta flora dan faunanya kepada masyarakat setempat.
“Pengunjung akan mendapat pemahaman saintifik yang menghiburkan tentang pelbagai spesies hidupan seperti mamalia, reptilia, ikan, serangga, pokok, bunga dan sebagainya serta bagaimana air memainkan peranan utama bagi menyokong ekosistem kehidupan di bumi dari zaman pra-sejarah sehingga kini.
“Berpacukan teknologi terkini, kami akan menyediakan pelbagai jenis aset dalam bentuk animatronics dan kandungan kreatif dalam bentuk audio serta visual menggunakan kepakaran kami dalam penghasilan kesan khas visual dan animasi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE