JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) meluluskan bayaran pampasan sebanyak 50 juta rupiah (RM15,230) kepada waris mangsa yang terkorban dalam insiden rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia.
Perkara itu disampaikan oleh Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD dalam satu kenyataan akhbar kelmarin.
“Presiden Jokowi juga menyampaikan ucapan takziah walaupun kehilangan nyawa semua orang tidak dapat dinilai dengan wang. Akan tetapi, beliau berbesar hati memberikan pampasan sebanyak 50 juta rupiah (RM15,230),” katanya.
Menurut Mahfud, pampasan itu akan diberikan serta-merta selepas pihaknya memadankan data pemerintah wilayah dengan institusi lain yang terlibat.
“Semoga pampasan yang disampaikan oleh Presiden kepada setiap waris 125 mangsa korban dilihat sebagai tanda empati dan kehadiran sokongan pemerintah,” jelas beliau.
Mahfud berjanji bahawa pampasan itu akan disumbangkan secepat mungkin tanpa melalui proses birokrasi yang panjang.
“Pemadanan data itu tidak mengambil masa yang lama. Kami hanya perlu meminta data daripada pentadbiran tempatan untuk memastikan 125 nama mangsa dan alamat mereka. Itu sahaja, ia tidak mengambil masa terlalu lama,” katanya.
Selain itu, Mahfud turut memastikan agar mangsa yang dirawat di hospital dibebaskan daripada bayaran. Pembiayaan untuk mangsa ditanggung sepenuhnya oleh pemerintah.
Tragedi Kanjuruhan di Malang telah mengorbankan 125 nyawa dan mencederakan ratusan penonton. Penggunaan gas pemedih mata oleh polis Indonesia mencetuskan situasi panik di mana orang ramai berpusu-pusu keluar dari stadium
Sebilangan penonton terjatuh akibat sesak nafas, kemudian dipijak dan meninggal dunia. Beberapa mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. – Agensi