KUALA SELANGOR – Seorang ibu menempuh detik cemas apabila tiga anak kembarnya berusia 18 bulan terkunci hampir 15 minit dalam kereta di Bandar Baru Kuala Selangor di sini, semalam.
Kejadian berlaku ketika wanita yang memandu Proton Preve itu dipercayai berhenti seketika di hadapan rumah rakannya untuk mengambil barang.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 6.23 petang.
Kata beliau, berdasarkan maklumat awal tiga beradik itu terperangkap apabila pintu kunci kereta terkunci selepas ibunya keluar di hadapan sebuah rumah.
“Pemeriksaan mendapati tiga kembar masing-masing dua perempuan dan seorang lelaki terperangkap di dalam kereta itu.
“Ketika kejadian enjin kereta berkenaan juga masih dalam keadaan ‘hidup’,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, anggota bomba kemudian segera membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas.
“Semua kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ibu mereka.
“Mereka terperangkap selama hampir 15 minit dan operasi itu ditamatkan sepenuhnya pukul 6.34 petang,” katanya. – KOSMO!ONLINE