JOHOR BAHRU – Polis Johor menafikan dakwaan berlaku kes penculikan bertujuan untuk penjual organ manusia kepada hospital-hospital di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut selain tidak menerima sebarang laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam agar tidak mudah terperdaya dengan dakwaan palsu sedemikian.
“Polis Johor menafikan adanya kejadian penculikan yang berlaku bertujuan untuk pengambilannya organ bagi dijual kepada hospital-hospital di negeri ini.
“Dakwaan palsu itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan juga kebimbangan dalam kalangan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah video berdurasi tujuh saat yang memaparkan ayat iaitu ‘Rakyat Malaysia, sekarang ada kes penculikan dan penculiknya akan mengambil organ dan jual kepada hospital. Hati-hati sebab sekarang ia berlaku di Johor’.
Sehubungan itu, Kamarul Zaman menegaskan tindakan menyebarkan dakwaan palsu adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE