fbpx

Tragedi Stadium Kanjuruhan cemari cita-cita sukan Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai berlari bersama penonton yang cedera selepas perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya di stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur. - AFP

SINGAPURA – Harapan Indonesia untuk menjadi tuan rumah acara sukan dunia di masa hadapan bergantung kepada kredibiliti siasatan tragedi rempuhan yang berlaku pada hujung minggu lalu dan pembaharuan dalam langkah keselamatan, kata penganalisis-penganalisis dalam amaran mereka.

Seramai 125 orang terbunuh dan lebih 300 lagi cedera selepas polis menembak gas pemedih mata di Stadium Kanjuruhan yang penuh sesak dalam usaha mematahkan pencerobohan padang oleh penonton pada Sabtu lalu. Tindakan tersebut bagaimanapun mencetuskan insiden rempuhan.

Tragedi itu adalah antara yang paling buruk dalam sejarah bola sepak dunia.

Penganalisis-penganalisis berkata, walaupun terdapat tragedi serupa di negara lain, repu­tasi Indonesia untuk menjadi tuan rumah kepada acara sukan antarabangsa pasti tercalar.

Insiden di Malang itu juga berlaku pada masa yang paling buruk. Ini kerana Indonesia telah membida untuk menggantikan China sebagai tuan rumah bola sepak Piala Asia pada tahun depan, manakala keputusan mengenainya akan diketahui dalam masa dua minggu.

Indonesia yang mempunyai kira-kira 270 juta penduduk juga akan menjadi tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun FIFA pada Mei 2023. Terdapat gesaan secara online supaya Indonesia dilucutkan hak tersebut susulan insiden di Stadium Kanjuruhan.

Indonesia yang mengingkari amaran mengenai persiapan buruk semasa Sukan Asia pada 2018, juga menyatakan minat untuk menganjurkan Sukan Olim­pik buat kali pertama pada 2036.

“Ia (insiden Kanjuruhan) sudah tentu mencemarkan reputasi negara dan menggugat reputasi bola sepak Indonesia. Mereka tidak boleh lari daripadanya.

“Namun, tindakan mereka sekarang akan menentukan sama ada reputasi buruk ini kekal atau sebaliknya, juga sama ada mereka (Indonesia) boleh belajar daripada tragedi tersebut dan menghasilkan standard penjagaan dan keselamatan yang dika­gumi dunia,” kata pakar pengurusan orang ramai berpangkalan di Los Angeles, Paul Wertheimer kepada agensi beri­ta AFP.

“Perkara pertama yang saya fikirkan adalah kenapa gas pemedih mata digunakan?” tambahnya.

FIFA selaku badan induk bola sepak dunia, melarang polis menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal penonton.

“Saya berpendapat semua­nya perlu dinilai semula,” kata Wertheimer. Katanya, Indonesia juga perlu melatih semula kakitangan tentang kaedah mengawal kumpulan orang ramai dan peminat bola sepak dengan me­numpukan aspek keselamatan.

Indonesia membentuk sebuah pasukan petugas untuk menyiasat kejadian tragis di Stadium Kanjuruhan, di mana 32 kanak-kanak adalah antara mang­sa yang terbunuh.

Mustafa Izzuddin yang merupakan profesor pelawat hubungan antarabangsa di Universiti Islam Indonesia berkata, penelitian global berhubung tragedi di Kanjuruhan bukan sahaja tertumpu kepada bola sepak.

Tumpuan antarabangsa juga akan menilai keupayaan Indonesia secara keseluruhan untuk menjadi tuan rumah acara sukan di masa hadapan dan juga cita-cita Jakarta untuk menjadi pemain utama dalam diplomasi dunia.

Indonesia bergelut untuk membuang reputasinya sebagai negara yang mempunyai stan­dard keselamatan lemah. Syarikat penerbangan Indonesia sebelum ini diharamkan di Barat kerana isu keselamatan.

“Insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan walaupun tragis, adalah peringatan serius kepada Indonesia supaya melihat semua langkah keselamatan untuk semua acara sukan yang akan mereka anjurkan bermula dari sekarang,” kata Izzuddin kepada AFP.

“Ini adalah masa yang kritikal kepada Indonesia untuk memastikan bahawa sebarang siasatan yang dilakukan adalah boleh dipercayai dan hukuman sewajarnya akan dilaksanakan. Lebih penting lagi, Indonesia perlu memberi jaminan kepada komuniti bola sepak antarabangsa bahawa ia serius dalam membendung keganasan bola sepak,” tambahnya.

Setelah menonton perlawanan bola sepak di Indonesia, Izzuddin berkata, keganasan sering berlaku di tempat yang jauh dari pusat bandar sekali gus menjadikan keperluan untuk pegawai-pegawai wilayah memainkan ‘peranan penting’ dalam memastikan keselamatan penonton dan pemain terjamin. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI