PELUMBA negara, Syarifuddin Azman enggan mensia-sia baki dua perlumbaan kelas Junior GP 2022 selepas tekad untuk meraikan kemenangan menjelang perlumbaan Pusingan 7 di Aragon, Sepanyol hujung minggu ini.
Syarifuddin atau mesra dipanggil Damok berada di kedudukan ketiga keseluruhan pada Kejuaraan Dunia Junior GP 2022 selepas mengumpul 107 mata dan dipisahkan satu mata dengan pelumba Sepanyol, David Salvador di tangga kedua.
Justeru, pelumba berusia 21 tahun itu tekad untuk memastikan lagu Negaraku berkumandang di bumi Aragon dan kemenenangan tersebut mampu membawanya kembali di kedudukan kedua.
“Saya telah melakukan persediaan fizikal dan mental. Terima kasih kepada jurulatih prestasi saya, Josiah Ng dan juga pengurus pasukan saya, Zulfahmi yang sentiasa memberi sokongan.
“Mereka nasihatkan saya untuk tingkatkan prestasi fizikal menjelang perlumbaan.
Saya akui sudah bersedia untuk perlumbaan di Aragon. Dengarkan lagu Negaraku di Aragon nanti. Doakan saya,” katanya.
Ketika ini, rakan sepasukan Damok, Jose Antonio Rueda mengesahkan status sebagai juara keseluruhan dengan 198 mata meskipun saingan ada baki dua pusingan.
Selepas Aragon, perlumbaan kemuncak dijadualkan berlangsung di Litar Ricardo Tormo pada hujung Oktober.
Musim ini adalah pencapaian paling cemerlang Damok pada Junior GP berbanding dua musim sebelum ini apabila meraih tiga penamat di tempat kedua, masing-masing di Catalunya serta Algarve.
Sebelum berlepas ke Ricardo Tormo, Damok akan melakukan persiapan untuk turun beraksi menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia yang berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober depan menerusi tiket wildcard pada saingan Moto3.
Damok yang akan melakukan penampilan kelimanya sebagai pelumba wildcard bakal beraksi bersama pasukan VisionTrack Racing pada perlumbaan di Sepang nanti.
Syarifuddin sebelum ini beraksi menerusi tiket wildcard pada perlumbaan di Aragon tahun lalu serta tiga pusingan pada GP Portugal, Sepanyol serta Catalunya.