SEPANG – Wanita yang menyamar sebagai Pengarah Kewangan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akhirnya ditahan polis, semalam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata, wanita berusia 32 tahun dikenali sebagai Siti Nur Atiqah Binti Baba itu ditahan oleh anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
“Saya difahamkan, suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, polis menerima laporan polis daripada pegawai kanan KDN yang juga Setiausaha Bahagian berhubung penularan video oleh suspek.
Menerusi rakaman video tular itu, wanita itu mendakwa dia dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN sedangkan jawatan itu tidak wujud.-KOSMO! ONLINE