PUTRAJAYA – Pas akan memutuskan siapa rakan dan lawannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas mesyuarat pimpinan tertinggi parti yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.
Perkara itu disahkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad ketika ditemui pemberita hari ini.
Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwa Agama) berkata, mesyuarat itu akan membuat ketetapan siapa rakan kerjasama Pas pada PRU-15 nanti.
“Nanti Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan keluarkan kenyataan rasmi. Saya difahamkan keputusannya hujung minggu ini.
“Mesyuarat mengenainya akan berlangsung Sabtu ini di Kuala Lumpur. Saya dimaklumkan, mesyuarat sama juga akan membincangkan ketetapan untuk bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Ditanya kecenderungan parti untuk bekerjasama dengan siapa, Idris berkata, Pas kekal mahu kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.
“Kita mahu dua-dua belah (kedua-duanya),” katanya.-KOSMO! ONLINE