KUALA LUMPUR – Jumlah murid dalam sebuah kelas di sekolah masih belum menepati bilangan murid yang ideal bagi sesebuah kelas iaitu antara 20 hingga 25 orang.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, secara purata seramai 35 orang dalam setiap kelas dengan ada yang lebih ramai dan ada yang kurang.
Bagaimanapun, katanya, kekangan tersebut bukan penghalang untuk KPM memberi tumpuan kepada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
“Jika (terus) bercakap kekangan kerana murid setiap kelas tidak kurang 25 orang menyebabkan sampai bila kita tidak dapat melaksanakan perubahan.
“Setiap polisi dalam dunia ada kekangan, namun apa yang penting PBS sudah ada sekian lama dan kita sedang meningkatkan kreativiti dan inovasi para guru.
“Kita tingkatkan kecekapan dan memastikan pengajaran dalam kelas lebih ramai (murid) dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) yang mahu tahu apakah purata jumlah murid dalam kelas berbanding bilangan ideal iaitu antara 20 hingga 25 orang. – KOSMO! ONLINE