SEOUL – Penduduk sebuah bandar di Korea Selatan panik apabila satu peluru berpandu yang dilancarkan tentera negara itu dan Amerika Syarikat (AS) tersasar lalu jatuh di kawasan darat, kata pegawai hari ini.
Seoul dan Washington melaksanakan latihan tentera bersama termasuk menggunakan bom dan pelancaran misil sebagai tindak balas kepada pelancaran peluru berpandu balistik jarak sederhana (IRBM) oleh Korea Utara ke arah Jepun semalam.
Susulan itu, tentera Korea Selatan membedil peluru berpandu balistik jarak dekat Hyunmoo-2 lewat semalam, namun ia gagal berfungsi dan jatuh di darat sejurus selepas dilancarkan.
“Propelan peluru berpandu itu terbakar namun kepala peledak tidak meletup,” kata seorang pegawai tentera kepada agensi berita Yonhap.
Rakaman tular di media sosial yang tidak dapat disahkan oleh agensi berita AFP menunjukkan bebola berwarna jingga terbakar di sebuah kawasan yang menurut pengguna media sosial terletak berhampiran dengan sebuah pangkalan tentera udara dekat dengan Gangneung, di pantai timur Korea Selatan.
“Ramai penduduk yang panik membuat laporan kepada dewan bandaraya.
“Pada mulanya kami tidak tahu apa yang sedang berlaku kerana tidak menerima sebarang notis daripada tentera mengenai latihan yang dijalankan,” kata seorang pegawai di Dewan Bandaraya Gangneung.
Sementara itu, ramai penduduk meluahkan rasa panik di media sosial dengan rata-rata tidak mengetahui bahawa tentera negara itu sedang menjalankan latihan.
“Saya sangkakan perang berlaku, namun rupa-rupanya latihan tentera,” kata seorang pengguna Twitter.
Sementara itu, Ketua Staf Bersama Korea Selatan mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kematian akibat insiden itu serta menambah, akan menyiasat punca peluru berpandu tersebut gagal berfungsi. – AFP