fbpx

Muhammad Azeem beri kriteria universiti pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM masih enggan mendedahkan universiti pilihannya ketika ditemui di KLIA kelmarin selepas menyertai Piala Cabaran Olahraga di Niigita, Jepun awal bulan ini.

PROGRAM meyakinkan daripada jurulatih serta persaingan yang hebat antara faktor utama jaguh pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi memilih universiti pilihannya di Amerika Syarikat (AS).

Biarpun masih tidak mendedahkan nama universiti, namun Azeem, 18, berkongsi secara eksklusif kriteria ‘rumah keduanya’ itu dalam usahanya menjadi pelari 100 meter (m) pertama Asia Tenggara dengan mencatat masa bawah 10 saat (s).

Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s itu mendedahkan, dia hanya akan mengumumkan universiti pilihannya penghujung Disember nanti sebelum ‘terbang’ ke AS pada Januari tahun depan.

“Saya sudah ada keputusan universiti pilihan dan akan umum sebelum bertolak ke sana. Saya akan bergerak dalam bulan Januari, jadi hujung tahun sekitar Disember, saya akan umumkan.

“Saya pilih universiti ini ke­rana yakin dengan program jurulatih yang baru dilantik di sana. Mereka yang dibawa masuk ke universiti ini juga antara atlet hebat.

“Antaranya berada dalam kelompok tiga teratas NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan) AS. Kebanyakan pelari di sana juga ada yang sudah layak ke Kejohanan Dunia.

“Saya memilihnya sebab ada banyak persaingan dan kawasan yang lebih tenang. Pelajaran pun saya fokus,” katanya kepada ­Kosmo! ketika ditemui di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lewat malam kelmarin.

Universiti Houston hangat diperkatakan bakal menjadi pilihan Azeem kerana dibimbing pemenang sembilan pingat emas Sukan Olimpik, Carl Lewis.

Pelari dari SMK Gunung Rapat Ipoh, Perak itu turut ‘dihujani’ pelbagai tawaran menarik antaranya dari Universiti Florida, Texas A&M, Auburn, Minnesota dan Oregon.

Di sana, Azeem berpeluang mencabar juara berganda NCAA 2022, Joseph Fahnbulleh dari Universiti Florida dengan rekod 100m peribadi 10s, Shaun Maswanganyi (Universiti Houston, 10.04s) dan Mathew Boling (Universiti Georgia, 9.98s).

“Apabila berada di AS nanti, saya akan menimba pelbagai ilmu untuk tingkatkan prestasi. Saya harap orang ramai dapat mendoakan saya,” jelas Azeem.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI