fbpx

Mahkamah: Tidak benar hadir Parlimen, Najib mohon semakan kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar Jabatan Penjara Malaysia (JPM) yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Najib, 69, memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Komisiner Jeneral Jabatan Penjara masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga. Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pukul 1 petang hari ini.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, Najib memohon dua pengisytiharan iaitu diberikan kebenaran akses kepada pegawai parlimennya bagi menjalankan fungsi beliau sebagai ahli parlimen dan dibenarkan hadir sidang Dewan Rakyat.

Semakan kehakiman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 12 Oktober ini.

Dalam notis usul yang diperoleh, Najib menfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan responden ketiga yang tidak membenarkan Najib selaku pemohon untuk bertugas dan hadir ke Parlimen pada tarikh yang dijadualkan.

Isnin lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sidang medianya berkata JPM menolak permohonan Najib untuk menghadiri persidangan Parlimen.

Menurut Muhammad Shafee pihaknya telah mengemukakan permohonan bagi membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu ke Parlimen pada 19 September lalu namun JPM telah menolak permohonan tersebut.

Tambah Muhammad Shafee lagi, Najib masih lagi seorang ahli parlimen dan sepatutnya dia diberikan hak untuk hadir pada sidang parlimen yang mana hak untuk berjumpa dengan wakil dan rakyat dikawasannya.

Najib kini menjalani penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di Penjara Kajang dalam kes dana SRC International Sdn. Bhd.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI