fbpx

Lagi dikecam, lagi ramai pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur panjang untuk menikmati hidangan asam pedas di Restoran Asam Pedas 35, Melaka baru-baru ini.

MELAKA – Restoran kontroversi Asam Pedas 35 yang sebelum ini tular di media sosial dan me­nerima kecaman hebat daripada netizen disebabkan isu ‘bahasa kasau’ dan ‘suara petir’ tetap dikerumuni orang ramai.

Tinjauan Kosmo! di restoran di Plaza Mahkota itu mendapati barisan pelanggan yang menunggu giliran mengambil nasi dan lauk-pauk kegemaran tidak ‘susut’ sejak dibuka pada pukul 12 te­ngah hari, malah semakin panjang sehingga ke petang.

Menurut pemiliknya, Norhaya­ti Baharom, 47, perniagaannya semakin maju selepas kedainya beberapa kali ditularkan oleh pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan.

Jelasnya, kini setiap kali musim perayaan dan cuti persekolahan, restorannya perlu menggunakan kira-kira 60 kilogram (kg) beras sehari untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Meskipun ramai kecam kedai ini sehingga ada yang menggelarkan kami ‘keluarga puaka’ tapi Alhamdulillah pelanggan kami semakin ramai, malah mereka perlu beratur menunggu giliran makan.

“Dulu sebelum viral, kami masak beras dalam 20kg sehari, kini kalau musim perayaan dan cuti persekolahan kami perlu guna 60kg beras, baru cukup,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, bagi lauk asam pedas, kira-kira 300 keping ikan pari dan jenahak akan licin dalam tempoh lima jam sehingga pukul 5 petang dengan jumlah pengunjung mencecah 600 orang sehari.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan dan persepsi negatif yang dilemparkan terhadap premisnya, Norhayati berkata, perkara itu merupakan cara pe­nerimaan peribadi setiap pelanggan.

“Biarlah orang nak cakap apa pun, itu hak mereka, saya percaya ramai lagi pelanggan yang faham. Kenalan atau pelanggan yang dah biasa makan sini mereka tahu perangai keluarga ini macam mana.

“Memang cara kita cakap macam ni, sejak azali lagi, kami anak beranak kalau bersembang sesama kami pun meja macam nak terbalik,” katanya yang merupakan generasi ketiga perniagaan berusia 46 tahun itu.

Katanya, susulan jumlah pe­langgan yang naik mendadak, premis itu juga terpaksa mengehadkan makanan dibungkus bagi memastikan setiap individu berpeluang merasai masakan asam pedas restoran berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha restoran di Pantai Siring, Azizah Hasan, 46, berkata, dia juga pernah ditegur pelanggan secara berseloroh kerana suara dan bahasa yang dianggap kasar kepada orang luar.

“Orang luar rasa kasar tetapi sebenarnya tidak,” jelasnya.

Berita berkaitan: KPDNHEP tiada akta lindungi pelanggan dimaki peniaga

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI