PETALING JAYA – Harapan skuad bawah 17 (B-17) negara untuk mengutip tiga mata berharga tidak kesampaian selepas seri 1-1 bertemu Guam pada aksi kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Indonesia sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Pakansari, Bogor itu, skuad negara kendalian Osmaro Omera dilihat membariskan kesebelasan terbaik dalam usaha merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen Kumpulan B.
Namun, pasukan lawan dilihat berjaya mengekang asakan yang dilakukan oleh pemain muda Harimau Malaya dengan kedudukan 0-0 berakhir pada babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, skuad negara memperkemaskan jentera serangan dengan menggandakan asakan dalam usaha memecah kebuntuan.
Gol yang dicari hanya tiba pada minit ke-73 menerusi ledakan pemain gantian, Qahir Zaqirin untuk memastikan benteng pasukan dari kepulauan Pasifik itu dibolosi.
Namun, kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama selepas Guam menyamakan kedudukan hasil jaringan Riku Ngeschekle Meyar pada minit ke-84 dengan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini agak mengecewakan kem negara selepas pasukan pesaing seperti Emiriyah Arab Bersatu berjaya menewaskan Guam 9-0 dan Indonesia (14-0) pada aksi sebelum ini.
Juara peringkat kumpulan akan meraih slot automatik ke kejohanan belia berprestij itu selain lima naib juara terbaik dengan satu lagi slot diberikan kepada tuan rumah yang masih belum ditentukan selepas Bahrain menarik diri. – KOSMO ONLINE