fbpx

Hubungan terlarang, penyakit kelamin di usia muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMMAD FIRDAUS FAHMI JUNAIDI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Seiring kemasukan mahasiswa baharu dan lama ke institusi pengajian tinggi, negara dikejutkan mengenai lonjakan kes virus kurang imun manusia (HIV) dalam kalangan penuntut yang melakukan hubungan sejenis.

Pantaskah gedung ilmu yang dibina dengan tujuan melahirkan golongan muda berpendidikan dan celik minda ini dipandang serong hanya kerana gagal mewujudkan perlindungan kesihatan yang terbaik.

Bukan itu sahaja, amalan seks bebas dalam kalangan mahasiswa dikhuatiri turut menularkan pelbagai lagi jenis penyakit kelamin lain yang turut mengancam nyawa mereka.

Lebih meruntun hati apabila ada pelajar yang dijangkiti kerana diperkosa tanpa rela.

Sebilangan pihak berpendapat bahawa pendidikan seksual di negara ini memerlukan pembaharuan yang lebih komprehensif di peringkat sekolah dan memenuhi situasi peredaran zaman yang dipacu oleh teknologi.

Ini bertujuan memberi ke­sedaran dan maklumat mengenai penyakit kelamin dari pelbagai aspek termasuk gejala-gejala awal dan langkah pencegahan.

Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pendidikan seksual di Malaysia telah diintegrasikan di peringkat sekolah menengah sejak 1989 dan sekolah rendah sejak 1994.

Menurutnya, pendidikan seksual menjadi sebahagian daripada Pendidikan Kesihatan yang diajar di sekolah bermula 2011.

“Kalau dahulunya, pendidikan seksual lebih berkisar mengenai kesihatan, tetapi kini sudah mendedahkan pelajar mengenai anatomi jantina dan proses kematangan jantina yang berbeza.

“Wujud masalah apabila golongan muda seperti mahasiswa universiti acap kali ingin melihat aksi hubungan intim serta mencuba sendiri bersama pasangan masing-masing,” katanya.

Ujarnya, golongan muda terutamanya remaja berada dalam fasa yang amat getir kerana mereka mempunyai keinginan untuk mencuba dan tidak memikirkan kesan tindakan sesuatu perkara secara matang termasuk impak jangka panjang.

“Ini mengakibatkan mereka mudah terjebak dalam pergolakan isu sosial, isu substans (dadah, rokok, vape), seks bebas, keganasan di rumah dan universiti serta kes-kes jenayah lain seperti mencuri, memukul, dadah dan sebagainya.

“Dengan bertambahnya kebebasan penggunaan internet termasuk pelbagai aplikasi media sosial, akses mereka untuk melayari dan melihat aksi-aksi ‘panas’ semakin mudah,” jelasnya.
Jelasnya, lebih memeranjatkan apabila sebilangan mereka turut menawarkan bayaran untuk melihat kandungan sedemikian yang sudah tentu menjolok mata dan seksi.

“Isu pendidikan seksual di negara berlaku apabila kita kurang tenaga pengajar yang berkelayakan, pendidik tidak selesa mengajar dan silibus pendidikan yang tidak menyeluruh,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, pendidikan seksual sahaja tidak mencukupi, tetapi perlu pemantauan keluarga dan penguatkuasaan akta (terhadap keganasan seksual) dengan tegas lagi.

Tambah Sharifa Ezat, pihak berkuasa dan keluarga terutamanya ibu bapa perlu mempunyai kawalan tinggi terhadap golongan muda seperti ini terutama yang mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan seksual secara haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI