BRUSSELS, BELGIUM – Kira-kira 48 juta unggas dihapuskan ketika Kesatuan Eropah (EU) dan Britain dilanda wabak selesema burung yang paling buruk pernah direkodkan tahun lalu, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.
Angka itu direkodkan dari Oktober 2021 hingga 9 September lalu dan diterbitkan bersama kelmarin oleh Pihak Berkuasa Makanan Eropah (EFSA), Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) serta Makmal Rujukan EU untuk Selesema Burung.
Secara keseluruhan, sebanyak 47.7 juta burung dihapuskan selepas lebih 2,600 wabak selesema burung dikesan menjangkiti ternakan ayam dan unggas peliharaan lain sehingga 9 September lalu.
Laporan tersebut turut menunjukkan terdapat 3,573 penemuan kes selesema burung dalam populasi burung liar, dengan virus itu tercetus di 37 buah negara dari Svalbard hingga ke selatan Portugal dan timur Ukraine.
Ketiga-tiga pihak terbabit turut memberi amaran bahawa angka tersebut tidak harus dipandang ringan.
Meskipun tiada kes jangkitan antara manusia di direkodkan di rantau EU, terdapat satu kes jangkitan kepada manusia dikesan di barat daya England pada Januari lalu.
Pengarah ECDC, Andrea Ammon memberi amaran bahawa mereka yang bekerja dalam sektor pertanian dan haiwan berisiko tinggi terdedah kepada virus selesema burung dan menggesa majikan menambah baik langkah bio keselamatan serta penjagaan kesihatan.
“Kewaspadaan amat diperlukan untuk mengenal pasti jangkitan virus selesema secepat mungkin dan memaklumkan penilaian risiko serta langkah kesihatan awam,” kata Ammon.
Dalam pada itu, EFSA berkata, Eropah mengalami krisis selesema burung terburuknya dengan kekuatan virus tersebut berkemungkinan menyebabkan jangkitan meluas pada musim akan datang.
Selesema burung lazim menyerang ketika musim luruh dan sejuk. Ia berjangkit menerusi najis burung liar yang berhijrah atau sentuhan secara langsung pada makanan, pakaian atau peralatan yang tercemar. – Agensi