MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti enggan menuding jari kepada Karim Benzema menyebabkan rekod kemenangan bersih juara Sepanyol itu lebur dalam kempen La Liga musim ini.
Kepulangan Benzema selepas tiga minggu direhatkan kerana kecederaan, tidak memberikan impak positif apabila gagal menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-79 ketika seri 1-1 dengan Osasuna kelmarin.
Begitupun, Ancelotti percaya penyerang prolifik Perancis itu akan bangkit menunjukkan ketajaman sebenarnya apabila bertemu Shakhtar Donetsk untuk aksi Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
“Biasanya Karim (Benzema) akan menjaringkan gol (sepakan penalti), tetapi apakan daya ia tidak berlaku. Secara keseluruhan, saya gembira dia dapat habiskan 90 minit penuh perlawanan.
“Inilah bola sepak, kadang-kadang perkara sebegini akan terjadi. Saya akui permainan kami kurang bagus dan gagal mencari kemenangan biarpun menentang lawan dengan 10 pemain.
“Namun, saya tak bimbang kerana segalanya masih pada landasan tepat. Anda lihatlah bagaimana reaksinya (Benzema) dalam perlawanan selepas ini (bertemu Shakhtar),” katanya.
Real tidak pernah kalah kepada Shakhtar dalam dua pertemuan terakhir mereka tahun lalu yang menyaksikan Los Blancos menang 5-0 di Donetsk, dan 2-1 di Santiago Bernabeu.
Sebagai rekod, Real kini mendahului carta Kumpulan F selepas menewaskan jaguh Scotland, Celtic 3-0 dan wakil Jerman, RB Leipzig dalam dua aksi terdahulu. – AGENSI