LONDON – Penyerang utama Chelsea, Pierre-Emerick Aubameyang mengakui tidak sabar untuk membuktikan keupayaan sebenar apabila bertemu bekas pasukan, AC Milan menjelang aksi Liga Juara-Juara di Stamford Bridge awal pagi esok.
Sebagai rekod, Aubameyang telah mewakili Milan pada tahun 2007 hingga 2011, tetapi gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama sehingga dipinjamkan ke beberapa kelab seperti Sporting Dijon, Lille dan AS Monaco sebelum berhijrah secara tetap ke Saint-Etienne.
Penyerang berusia 33 tahun berharap dapat membuktikan kualiti sebenar apabila bertemu Giallorossi, tetapi dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada kelab tersebut kerana memberikan pengalaman berharga ketika bergelar pemain remaja.
“Ketika saya bersama Milan, mereka berada di zaman kegemilangan yang mana semua pemain legenda berada di sana seperti Ronaldo, Paolo Maldini dan Alessandro Nesta. Sudah tentu sukar untuk saya mendapat tempat.
“Namun, saya anggap ia sebagai salah satu proses pembelajaran buat saya selaku pemain muda kerana menjalani sesi latihan di padang yang sama dengan Ronaldo yang dianggap sebagai penyerang tulen terbaik sepanjang zaman,” katanya.
Sementara itu, pengendali Chelsea, Graham Potter mengakui lega apabila Aubameyang berjaya menemui sentuhan gol dan sudah pasti bakal dijadikan sandaran apabila menentang juara Serie A itu nanti.
“Aubameyang mengharungi detik yang sukar sejak beberapa bulan lalu, tetapi saya anggap kini dia sudah bersedia nanti,” katanya. – AGENSI