LONDON – Polis menahan dua lelaki kerana disyaki membunuh dalam insiden serangan pisau di luar sebuah masjid di Coventry, England pada Ahad lalu, lapor akhbar Arab News, kelmarin.
Seorang lelaki berusia 56 tahun diberkas berhampiran lokasi kejadian, manakala suspek kedua berusia 27 tahun dan ditahan awal pagi kelmarin.
Polis Midlands Barat bertindak terhadap beberapa aduan mengenai pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki dengan ada antara mereka bersenjatakan pisau di luar Masjid Jamiah di bandar Coventry. Dua mangsa ditemui cedera dalam insiden tersebut.
Salah seorang daripada mangsa yang cedera iaitu ialah lelaki berusia 52 tahun. Dia dilaporkan meninggal dunia beberapa jam kemudian akibat kecederaan yang dialami.
“Kami telah mendapat banyak kemajuan dalam siasatan awal yang dilakukan, namun masih banyak usaha perlu dilakukan untuk mengenal pasti semua individu yang terlibat dalam kejadian malam tadi (Ahad lalu).
“Pegawai kami telah bercakap dengan penduduk dan beberapa pemimpin masyarakat untuk menawarkan jaminan keselamatan, manakala rondaan di kawasan terbabit akan ditingkatkan,” kata Detektif Superintendan Shaun Edwards.
Satu kenyataan polis menyebut bahawa pihak berkuasa menganggap pembunuhan itu sebagai ‘insiden terpencil’ dan menolak kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan pergolakan antara agama yang berlaku secara meluas di beberapa bandar sekitar Midlands sejak beberapa minggu lalu. – Agensi